Terlalu lama aku tidak meninggalkan apa-apa di sini. Sibuk bukan alasan utama. Cuma aqal sudah lemah untuk menafsirkan segala-galanya di sini.
Alam pekerjaan sudah ditempuh, walaupun bukan pekerjaan tetap tapi aku syukur mempunyainya. Aku kira, Tuhan mengatur hidup aku terlalu cantik. Aku punya keinginan dan cita-cita untuk membuka sebuah nurseri nanti. Dan kehidupan itu sekarang yang sedang dilalui oleh aku, walaupun aku hanya berstatus seorang pekerja di situ. Seminggu selepas aku sah meletakkan jawatan aku sebagai tutor Bahasa Arab di Pulapol Jalan Semarak, aku mendaftar di Alqas Kids School di Kemensah Heights sebagai guru Islamic Studies bersama Faradila.
Walaupun aku diberikan jawatan seorang guru, aku juga dilatih menguruskan organisasi itu termasuk soal-soal kewangan. Alhamdulillah kepercayaan itu tidak akan aku sia-siakan. Cuma sekarang aku masih berkira-kira samada ingin terus tetap di sini atau menerima panggilan j-qaf jika nasib menyebelahi aku nanti. Majikan sudah beritakan perihal cawangan baru yang akan di buka sekitar situ juga. Tak salah aku di Ukay Perdana. Erm, dimintanya aku menjadi pengurus di situ. Memang aku amat berminat, sementelah itulah cita-cita aku sedari kecil. Tapi impian mak dan abah, tak boleh dipandang remeh oleh aku. Merekalah nadi aku. Merekalah tunggak dalam kejayaan aku. Cuma impian mak dan abah bukan minat aku.
Sungguh aku tidak minat menjadi pendidik. Benar aku kata, sehingga hari ini, aku tidak berjaya lagi menanam minat menjadi pendidik walaupun aku sekarang sedang mengajar. Aku cuma mengganggap ia amanah aku untuk membetulkan apa yang salah dan mengenalkan apa yang mereka tidak tahu. Itu sahaja. Aku masih berkira-kira. Biarlah Tuhan yang memilihnya. Biarlah masa yang menentukannya.
Aku garang. Garang amat. Hari pertama bekerja aku sudah pandai marah-marah. Sudah pandai tegur-tegur. Hari kedua dan ketiga bekerja, tangan aku sudah pandai mencari mangsa. Mangsa utama ialah cik telinga. Itupun sebab mengikut sains, jika telinga ditarik, mata dan otak akan dirangsang. Mengelakkan murid-murid mengelamun dan mengantuk. Hehe. Sudah ramai mata-mata anak murid aku terkelip-kelip. Panahan arjuna aku.
Tak masuk seminggu aku di sana, sudah ada yang mengalirkan air mata. Bukan air mata kesakitan, cuma air mata keinsafan. Basuh sikit. Aku jadi geram dan kacau bila mendengar mereka membaca merangkak-rangkak sedangkan sudah Iqra 5. Natijahnya, ulang Iqra 3. Geram. Bukan seorang dua, ramai.
Alhamdulillah, kalau dulu merangkak-rangkak, sekarang sudah lancar sebutannya. Kalau dulu diturunkan Iqra, sekarang sudah langkau dua Iqra. Aku jadi puas hati, hati pun jarang sakit lagi. Kalau dulu ada yang nakal-nakal, sekarang sudah sopan duduk simpuhnya. Sudah boleh membuat kerja tanpa disuruh. Cuma ada yang hatinya sedikit degil, perubahan itu masih belum seratus peratus.
Mujur dalam dimarah-marah, diherdik-herdik, telinga ditarik-tarik, tidak ada yang menyimpan dendam pada aku. Seusai kelas, masih ingin menyua senyum. Masih ingin bermanja-manja. Cuma aku yang tidak betah disendeng-sendeng, lekas-lekas suruh mereka menjauh. Hehe. Geli aku. Dari kecil, aku senang melatih adik-adik bersikap berdikari. Itu aku cuba terapkan pada anak-anak murid aku walaupun ada di kalangan mereka baru berumur 5 tahun. Aku ingin mereka jadi seperti aku, dari kecil sudah berdikari. Hehe.
Ada yang berumur 2 tahun, aku dah ajar bagaimana ingin membuka bungkusan sendiri, makan nasi tanpa tumpah, bagaimana ingin membuka bungkusan coklat dengan senang. Aku jadi rimas bila sekejap-sekejap "teacher teacher can u please...". Ha yang tu aku tak gemar sangat-sangat..Bila di ajar..Mereka boleh lakukan..tanpa tumpah pula tu..Cuma kita perlu memberi tunjuk ajar, dan selitkan sedikit pujian dan semangat. Kalau selalu turutkan kehendak mereka, tak menang tangan ingin melayan semua. Dengan cara ini sahaja aku boleh mengelakkan mereka terlalu bergantung. Sifat bergantung tak bagus.
Dua minggu lepas, aku diberi amanah untuk mengajar seorang kanak-kanak perempuan berumur 8 tahun. Dia anak istimewa. Tutur katanya tidak seperti kanak-kanak lain. Dia tidak pandai mengurus diri. Masih berlampin. Aku tidak tahu penyakit apa yang menyelubungi kehidupannya. Cuma yang aku tahu, aku terlalu sayangkan dia. Terlalu istimewa dia pada aku. Sungguh, bila aku khabarkan pada pekerja lain, negatif ngomelan mereka. Dia terlalu aktif. Sangat ditakuti oleh kanak-kanak lain. Makhluk asing anggapan mereka. Budak-budak..mana tahu..
Hari pertama aku melihat, berbalas pandangan dengannya, hati aku jadi sebak. Tanpa malu, aku menangis dihadapannya. Dia cuma tersenyum. Tak mengerti mengapa aku menangis. Dalam hati, aku bermonolog, andai aku juga dikurniakan anak sepertinya, mampukah aku jalani kehidupan menjaganya hingga habis hayat aku? Sabarkah aku nanti?..macam-macam...mungkin ada hikmahnya kenapa Tuhan menemukan aku dengan anak istimewa ini.
Walaupun dia serba kekurangan, aqalnya bak kapas. Senang menyerap apa-apa. Dia senang menerima dan mengenal huruf. Kadang-kadang aku mengajarnya sambil kami menjerit kegembiraan. Lagak bermain. Kadangkala sambil berbaring, aku bacakan dia cerita. Dia akan memanggil aku .."Uhh Uhh" jika ada apa-apa yang dia ingin tahu. Kadangkala tanpa di duga, aku menampar kecil tangannya, balasan tidak mendengar kata. Tapi dia tersenyum. Aku yang kalut sebak.
Dia terlalu suci, tanpa dosa. Itu hakikatnya yang dia akan bawa hingga ke tua. Tanpa dosa. Bahagianya dia. Dia mendengar kata, cukup tertib. Pandai mengemas mainan selepas bermain. Tanpa disuruh. Mungkin sudah diajar di rumah. Aku pula sudah menasihati kanak-kanak lain, memberitahu apa yang patut tentang dia. Kenapa dia begitu, dan bagaimana kita yang sempurna perlu melayannya. Sekarang ini sudah ramai yang berani mendekati dia, sudah berani ingin bermain-main dengannya jika dulu ramai yang lari ingin menjauh. Memang dia kasar dengan budak-budak sebab itu cara dia ekspresi emosinya. Jika kena cara, dia terlalu lembut dengan bayi. Tak pula kasar-kasar macam dia melayan budak berumur 4 atau 6 tahun.
Hampir sebulan lebih aku di sana. Macam-macam perkara yang aku belajar dalam mendidik anak-anak. Memang aku akui kadangkala terlepas juga kemarahan aku. Tetapi cepat-cepat aku istighfar balik. Kita yang tahu inilah kena tunjuk apa yang mereka tak tahu. Memang sukar mendidik kerana acuan setiap ibu bapa lain-lain. Bila sampai di sekolah, acuan kami lain pula. Harap-harap apa yang kami cuba terapkan terkesan di hati. Hanya itu yang kami mampu ajarkan.
Pengalaman aku sesak nafas hampir 2 minggu cukup-cukup membuatkan aku makin rimas. He. Tertekan sebenarnya. Setiap malam pasti terfikir, bagaimana ingin membentuk anak-anak. Apa kaedah yang sesuai untuk memahamkan mereka dengan cepat. Sampaikan tidur aku tidak nyenyak. Runsing. Kadangkala, aku amik kesempatan berenang di kolam pada waktu malam, menghilangkan tekanan. Tapi faktor kesihatan pula yang tak membenarkan aku selalu- selalu ke sana. Selalunya jam 9-30 malam aku dan beberapa staf pergi berenang. Memang tak elok untuk kesihatan. Tapi dengan itu sahaja aku mampu. Bila berenang, hilang segalanya. Sejuk pun dah jadi tak sejuk.
Cuma dari minggu pertama hingga saat aku menulis jurnal ini, suara aku masih serak dan batuk-batuk. Aku demam saban minggu. Huhu..Inikah dinamakan lilin kehidupan??...